Hari tu hari raya pertama. Aku dah semangat nak pakai baju kemeja kotak-kotak warna merah, nak kenakan dengan seluar jeans. Kasi nampak rugged sikit. Kurang-kurang nampak macam nak pergi jalan-jalan dekat pekan. Tapi mak tak bagi. Mak kata raya pertama kena pakai baju melayu, pergi sembahyang raya.
Aku tanya pulak. Kalau lepas sembahyang boleh pakai baju kotak-kotak? Tapi mak cakap tak boleh jugak. Aku kecewa. Tapi nak buat macam mana? Nak tak nak mesti kena ikut jugak. Kalau tak ikut, nanti mak marah.
Tenghari sikit orang makin ramai datang rumah atuk. Mak jugak makin sibuk. Nak kena buat air la, nak kena potong ketupat la, nak layan orang borak la. Abang sepupu aku dah mula pakat-pakat ajak aku pergi jalan-jalan kampung. Dia dah siap-siap pakai kemeja kuning dia. Tak ada kotak-kotak, tapi ada jalur-jalur kebawah. Katanya ini time nak kutip duit raya. Nanti lambat-lambat duit raya habis pulak orang lain sapu. Kena cepat.
Aku mana boleh tahan tengok dia pakai kemeja kuning tu, aku mesti nak kena lawan jugak. Kemeja kotak-kotak merah aku lagi cantik kot. Diam-diam masa mak tengah sibuk dekat depan rumah, pelan-pelan aku pakat dengan dia curi-curi tukar kemeja merah tu. Dia jaga line kalau-kalau mak aku lalu. Lepas siap, aku dengan dia terjun ikut tingkat. Tak boleh lalu depan, nanti mak nampak. Mak suruh tukar balik.
***
Tau-tau kita orang dah sampai jalan besar. Selamat. Macam ni baru semart. Abang sepupu kata mula-mula pergi rumah Wak Leman dulu. Rumah dia besor, paling kurang dalam sampul angpow dia paling sikit mesti singgit punya. Itu jam singgit untuk budak-budak macam aku kira dah besor sangat dah la.
Sampai depan rumah Wak Leman, tengok ramai budak-budak dah turun dari tangga rumah dia. Itu mesti baru lepas kutip duit la tu. Depan rumah ada parit besor. Nak seberang parit beso kena lalu titi kayu. Aku dengan Abang Sepupu dah ready, tindakan kena cepat. Masa kita orang lalu nak seberang titi tu, masa tu jugak budak-budak tadi sibuk nak lalu sama. Titi jadi sempit, walaupun titi tu tak sempit pun. Tapi sebab bila dah ramai, aku kena ke tepi sikit, sama-sama beralah la kata orang tu.
Tapi makin lama aku makin ke tepi. Makin ke tepi lagi. Abang Sepupu dah jauh ke depan. Aku cuba nak selitkan diri masuk ke tengah balik, kalau tak mau jatuh ke bawah ni. Tapi dalam ramai-ramai tu, ntah macam aku, aku terpijak kayu reput.
Prang!!!
Kaki aku terjolok ke bawah, entah macam mana jugak badan aku berat sebelah.
Kecebum!!!
Sedar-sedar aku dah lenjun. Seteguk dua air parit sempat aku teguk. Dari atas titi Abang Sepupu dah gelak kaw-kaw. Budak-budak lain tadi pakat sama gelak ramai-ramai. Dari tangga rumah Wak Leman dah berlari-lari datang ke titi.
Apa yang aku tau, separuh baju kemeja kota-kotak merah ni dah terkoyak habis sangkut kat titi.
No comments:
Post a Comment