Sunday, 30 September 2012

Baju Kotak-Kotak Dockers


Aku jenis kalau nak pakai baju tu, tak nak yang besar-besar. Aku nak yang ngam-ngam saiz badan je, nampak muat-muat. Aku percaya lelaki pun kadang-kadang kena nampak seksi. Jadi aku selalu beli baju saiz 'S'. Tapi masalahnya jugak, badan aku bukannya kecik sangat, biasa la lelaki. Ada masa-masa bila lebih makan perut ke depan jugak sikit. Jadi bila beli saiz 'S' tu, belum tentu boleh pakai sangat. Nasib tak baik sendat tang perut.

Heringbone Twill Shirt

Oxford Check Shirt.

Cuma yang Dockers punya yakin la jugak. Sebab 'S' dia tak kecik sangat. Lepas tu baju Kotak-Kotak dia style jugak. Kalau aku memang aku suka Long Sleeve macam ni. Sebab nanti nak lipat separuh sampai siku.

Saturday, 29 September 2012

Looper - Pembunuh Upahan Yang Di Upah Membunuh Diri Sendiri.

Semalam, aku layan tengok Looper. Dan perginya aku semalam, dengan budak merajuk yang aku tak pakai seluar Dockers dia bagi tu. Tapi bila aku sampai tayang seluar tu, lepas tanya semat ke tak? Terus dia senyum.

Pertama, kenapa aku nak tengok sangat Looper ni. Sebab aku terpengaruh dengan hero dia. Mamat 500 Days Of Summer tu. Joseph Gordon. Lepas ada pulak Bruce Wilis. gabungan hero lama dan hero baru. Satu hero jiwang, satu hero lonjat-lonjat tumbuk orang. Dan betul, hero jiwang langsung tak tumbuk-tumbuk pun. Tapi walaupun tak tumbuk-tumbuk, filem ni tetap kategori action. Dan kalau ini filem action, ini adalah filem action yang berat dramanya.

Cerita klise je, klise pasal pembunuh upahan. Tapi apa yang tak klisenya bila pembunuh upahan terpaksa membunuh diri sendiri. Dia diupah untuk itu. Dan macam mana? Adakah mereka akan membunuh diri sendiri itu, atau melepaskannya. Semua akan terjawab kalau lu orang pergi tonton. Kalau aku citer habis dekat sini, memang biol la aku kan. Buat apa korang nak tengok lagi.

Ada part yang sedih, tapi bukan sedih yang meleleh-leleh air mata. Cukup cuma kita tahu, benda itu adalah kesedihan dan tak patut. Simpati. Ada part kelakar, dan itu bukan kelakar yang terbahak-bahak. Cukup cuma gelak-gelak kecik dan senyum-senyum je. 

Satu benda yang aku suka jugak. Mamat Joseph Gordon ni adalah pembunuh upahan paling semart. Tak macam pembunuh upahan lain yang nak kena dressing ganas. Tapi dia dressing maskulin. Walaupun aku bukan maskulin. Tapi dia punya wardrope dia aku berkenan benor. Terasa macam nak sambar dua tiga helai baju yang macam dia pakai.

Tak caya kau tengok, semart tak semart?



Ada kereta best, tapi jangan risau. Dalam filem ni tak ada adegan klise kereta kejar mengejar. Semua setel cara jantan.

Ini pertembungan dua hero dalam filem ni.







Friday, 28 September 2012

Sehelai Dockers Yang Di Otter.

Bulan lepas aku dapat hadiah dari member, selai Dockers. Sebab benda tu hadiah, dah tentu-tentu dia tak ikut cutting aku sangat. Sikit hal je, terlebih panjang. Itu biasa, kalau beli sendiri boleh terus potong. Tapi ini aku hantar dekat tukang jahit lain la untuk potong. Aku hantar sabtu 4 minggu lepas, aku cakap paling lewat isnin nanti aku amik. Tapi ini dah nak masuk 4 kali isnin, ke lebih? Ntah aku tak perasan.

Aku pun sebenarnya sampai lupa yang aku ada hantar Docker dekat sana. Yang buat aku ingat balik, bila semalam. Lepak-lepak, member aku sampai. Borak-borak, silent moment kejap. Lepas tu dia bukak mulut, Eh seluar aku bagi kau tu, okey? Boleh pakai?

Aku diam kejap. Ingat balik, ingat balik. Ooo, Yes! Belum amik lagi otter dekat kedai. Hahaha.

Aku cuba gelak-gelak la sikit nak cover rasa bersalah. Tapi muka dia terus macam kecewa sikit. Aku yang nak cover rasa bersalah, terus memang tebal rasa bersalah. Aku bukak la topik-topik lain sikit cerita pasal terima la sebab hadiahkan benda yang aku suka, dan aku rasa seluar tu memang sesuai dengan aku. Nanti bila aku amik dekat kedai, bila aku pakai mesti lagi bergaya.

Mesti makin ramai awek lawa-lawa suka dekat aku....

Muka dia masam....
Opppsss!

Lupa, aku dengan dia sebenarnya tengah cuba nak into dalam relationship sekarang.

Alamak!

Thursday, 27 September 2012

Maskara Maskarot

Maskara selalu orang pompuan pakai dekat mata. Eh! Bulu mata? Ntah, aku pun tak tahu. Normal la kalau aku tak tau, sebab aku bukan orang pompuan. Kalau aku tau pulak, ha maknanya ada sumthing wrong dengan aku, sebab boleh tahu benda tu.

Tapi selain dari benda untuk mekap-mekap kasi cantik muka ni, Maskara juga sebenarnya adalah sebuah event. Sebuah event yang dianjurkan dah banyak kali oleh sekumpulan makhluk yang menggelarkan diri mereka Sol-Jah. Ataupun Sindiket Sol-Jah. Bila sebut Sol-Jah dia jadi macam bunyinya ala-ala pasukan keselamatan. Tapi bila dah bubuh perkataan Sindiket tu di depan, terus rasa macam geng-geng jahat pulak.

Dan mungkin memang betul kot, dia orang dalam Sindiket Sol-Jah memang ahli-ahli geng jahat. Cuma apa yang aku tau, jahat dia orang bukan jenis merompak pendatang asing, merogol perempuan seksi atau melakukan rompakan bersenjata ke atas sebuah bank. Bukan! Semua tu bukan.

Ironinya geng jahat yang bersindiket ni, buat Maskara yang mana panggil orang perform untuk baca puisi?

What???
Puisi???

Yes! Puasi. Puisi.
Silap, tertaip "puasi" pulak. Jadah mende "puasi" ni?


Itulah ironinya sindiket ni. Baca puisi, main gitar akustik, dan ntah mende lagi perkara-perkara yang memang tak jahat langsung jika dinilai dari kacamata seorang perogol bersiri.

Semua butiran event korang boeleh boleh baca dekat poster tu, tapi aku tau memang ada manusia yang jenis tak reti nak membaca poster jugak. Jadi biar aku citer.

Event ni hari sabtu - 29 September 2012. Jam 8 malam dekat Rumah Pena. Dekat mana Rumah Pena, jangan tanya aku. Aku sampai sekarang tak ingat-ingat lagi jalan nak ke sana. Aku terpergi dulu pun sebab teman member je, dari bosan baik ikut dia. Last-last aku jadi ketagih pulak, tapi jalan tetap tak, dia je yang tau jalan.

Wednesday, 26 September 2012

Neng Neng Nong Neng Neng Neng

Satu hari tu aku usha You Tube, layan Indonesian Idol. Juri dia waktu tu Agnes Monica, Anang Hermansyah  dengan Ahmad Dhani. Atau setengah orang sebut Dhani Ahmad. Aku kalau jenis tak ada buat apa-apa, memang akan melekat dekat you tube. You Tube ni sebenarnya dia boleh masuk kategori haram kau tau? Sebab makin kau layan makin khusyuk, sampai jadi lalai. Kira macam kategori alat muzik bertali la.

Tapi bukan itu yang aku nak cerita, aku nak cerita kes Ahmad Dhani dalam klip tu. Ahmad Dhani ni memang ramai lah yang tau. Dia ni kira genius muzik yang pernah dilahirkan di Indonesia. Itu orang cakap la, bukan aku yang cakap. Aku cuma dengar orang cakap dan guna balik ayat tu. Samada genius atau tak, itu tak dapat aku nak pastikan. Cuma satu yang jelas, aku memang suka suka sangat lagu-lagu Ahmad Dhani. Tak kira la dengan Dewa 19 ke, The Rock ke ataupun Triad. Tapi bukan itu yang cerita, bukan pasal lagu-lagu Ahmad Dhani.

Aku nak cerita pasal lagu M.Ridho. Mamat M.Ridho ni seorang penjual roti, bila nyanyi memang tak sedap langsung. Bukan kategori out lagi, tapi kategori nak pungkang dengan kasut. Angnes Monica muka dah pelik-pelik tahan sumbang. Anang dah berkerut tunggu bila nak habis. Ahmad Dhani diam je. Bila dah habis nyanyi, semua buat tak reti kejap. Malas nak layan mamat tu. Mamat tu pun tunggu la. Last-last Anang dengan Monica pun rejek. Tak suka.

Tapi Ahmad Dhani boleh tanya kalau-kalau dia boleh beli lagu tu. Bila taiko muzik Indonesia dah cakap macam tu. Si M.Ridho ni terus terkejut.... Tajuk lagu tu Ku Ingin Lama Pacaran Di Sini, tapi popular disebut Neng Neng Nong Neng Neng.






Tuesday, 25 September 2012

Kontradiksi Filem Ultra Low Budget

Mesti ramai yang tak tahu punya. Filem Ultra Low Budget Kontradiksi dah keluar. Usahkan nak tau dah keluar, tau adanya filem tu pun aku rasa memang ramai yang tahu. Ini orang cakap filem indie la. Tapi salah seorang pengarahnya Aloy Paradoks tak nak kata filem indie, dia memang tak suka bila sebut indie-indie. Cuma dia cakap, labelkan filem tu sebagai filem alternatif.

Siapa tahu Fynn Jamal. Minah puisi yang kalau show memang kasi buat orang terpukau punya. Dia lah taruhan selaku pelakon utama dalam filem low budget ni. Bersama dengan seorang lagi aktivis teater Fazleena Hishamuddin. Dan kalau nak tau jugak, filem ni dia arahkan oleh mamat teater, dia yang aku cakap tadi tu si Aloy Paradoks. Tapi bukan dia sorang pengarahnya. Pengarah ada dua, sorang lagi Nazri M.Annuar. Lepas semak-semak, baru tau. Mamat ni la yang tulis novel Karipap-Karipap Cinta tu. Popular kot novel tu.

Aku terlepas nak datang tonton masa malam dia orang priview filem ni itu hari. Jadi aku buat keputusan untuk beli DVDnya masa ada satu event dekat CM itu ari. Niat aku beli memang nak tengok la, kalau tak, buat apa aku beli. Tapi selain tu, niat aku nak sapot. Sebab tu aku beli, tak pinjam. Jadi sebagai tanda sapot jugak pada aktivis-aktivis seni alternatif ni, aku tak bagi jugak orang lain pinjam DVD ni. Nak beli.


Gambar ni, aku curik dari blog pengarahnya. Tujuan aku nak tolong promosi. Takpe kot. Cuma yang peliknya, masa majlis pelancaran dia orang tayangkan sekali filem ni sampai habis. Dah kalau ramai yang tengok sampai habis. Siapa yang nak beli???

Saturday, 22 September 2012

Klise Teman Lama

Memang ada puak-puak yang suka buat benda-benda apa yang kita panggil gathering ni. Jumpa member-member sekolah lama dulu, kawan sekelas, kawan kelas sebelah, kawan satu sekolah. Padahal masa sekolah dulu tak ada pun nak kawan-kawan sangat, semua buat tak reti je. Bila dah memasing besor besor ni, tetibe pulak jadi kawan baik. Add kat facebook, follow kat twitter, chat-chat tanya khabar, tag gambar kawin, tag gambar anak-anak baru nak belajar jalan.

Tag gambar makan ikan besar, lepas tu ada member lama akan komen. Tak ajak pung. Biasa-biasa, itu biasa. Jenis yang kalau malas nak buat gathering, ajak lepak mamak je. Itu jenis yang biasa. Kalau jenis yang tak biasa, bila turun satu-satu tempat di luar kawasan dia, contohnya bila datang KL, ajak member sekolah dulu-dulu yang sekarag dah duduk KL minum teh jumpa borak-borak. Takpun member KL yang jalan-jalan ke Melaka, ajak member yang dah duduk ke Melaka jumpa sekejap dua.

Ha! Yang ini yang aku nak cerita. Jenis yang dah tak rapat sangat, tapi dulu rapat la, dan sekarang jumpa. Samada jumpa gathering, lepak mamak je atau terserempak. Apa soalan-soalan klise yang di klisekan? Antaranya ini:

1 . Kau apa cerita sekarang?
Ini soalan pertama lepas salam tangan henjut-henjut. Senyum-senyum lepas tu tanyalah soalan tu. Dan yang ditanya pulak akan cakap alah, macam ni lah. Dan kemudian dia balik akan tanya, jadi soalan ke2 ni:

2 . Eh! Kau dekat mana sekarang?
Bila dah tanya kau sekarang dekat mana. Ha bukak la cerita kerja, duduk mana apa semua tu. Mula-mula main legar-legar kat situ dulu. Kemudian akan terus soalan ni.

3 . Kau buat apa kat sini?
Ini boleh jadi kalau dia orang terserempak, atau salah seorang datang tempat lagi sorang tu. Dari soalan kau buat apa kat sini, akan pergi ke ayat.

4 . Huiii.. Lama betul tak jumpa kau ni. Dah gemuk kau sekarang.
Eceh! Padahal yang cakap tu pun apa kurangnya. 2 x5 jew...

5 . Lepas tu baru la bukak topik-topik "kau kerja mana", atau dah kawin ke belum. Ini bergantung pada mana satu yang dipilih. Kalau pilih cerita kau kerja mana. Akan bukak cerita soal tempat kerja dia, problem tempat kerja dan plan nak berhenti kerja cari kerja lain. Dan kalau bukak ke side dah kawin ke belum? Mana yang belum akan cakap;

6 . Tunggu seruuuu!
Lepas tu kalau member lawan cakap tu kawin, soal akan berkisar pasal hal kawin dia lah. Bini orang mana, atau laki orang mana. Dan merebak ke anak pulak. Kalau tak ada anak lagi, pasti keluar ayat:

7 . Belum ada rezeki.
Bila dah keluar ayat ni, selalunya suasana akan senyap kejap, sambil salah seorang anguk anguk kepala tanda mengerti. Bila dah beberapa saat diam je... akan salah seorang keluar ayat ni.

8 . Eh! Si polan tu apa cerita ha? Duduk mana dia sekarang?
Bila dah bukak si polan tu apa cerita, tau tau lah. Lepas tu semua borak pasal zaman sekolah dulu. Bergaduh dengan anak cikgu matematik, kena rotan sebab tak pakai name tag, dan cinta kena rejek sebab dulu selekeh. Masuk bab cinta kena rejek, terus borak hal awek-awek atau balak-balak hot zaman sekolah dulu. Keluarlah ayat:


9 . Dah tak cantik dah dia tu, anak dah berderet dah. Badan out. Ada dekat kampung lagi.

Bila dah habis borak, nak blah nanti, benda ni biasa, itu kalau terjumpa tak sengaja:

10 . Eh! Bagi no telefon kau, senang-senang boleh aku call.
Hmmm. Jangan harap, tukar no je lebey.

Friday, 21 September 2012

Panduan ke Tioman

Tioman, satu pulau tapi ada banyak-banyak kampung dan pantai. Setiap pantai atau kampung tu tak boleh dihubungkan dengan jalan darat, ada sebenarnya. Tapi jungle treking. Jadi kenderaan rasmi ialah bot, yang dipanggil sebagai taxi.

Cara-Cara Nak Ke Pulau Tioman

Aku duduk di KL, area mana tak payah la aku nak citer lebih. Jadi aku akan ceritakan macam mana nak ke Pulau Tioman kalau kau dari KL menggunakan public transport. Pertama aku terus tuju Terminal Bersepadu Selatan (TBS). Kalau kau dari ceruk mana pun KL ni, amiklah tren ke situ. Aku ambik tren ke Seremban dari KL Sentral dan turun di Bandar Tasik Selatan. Maknanya turun di Bandar Tasik Selatan tu, automatik turun TBS lah.

Bila sampai di TBS, aku usha tiket bas ke Mersing. Belilah dari syarikat mana pun kan nak beli, belilah bas pukul berapa punya yang kau selesa. Aku beli tiket pukul 11.30 malam dengan syarikat Transtnasional. Perjalanan yang mula jam 11.30 malam tu akan tiba di Mersing kira-kira jam 5 pagi. Oleh sebab waktu pagi benor, teksi pun belum beroperasi. Aku amik keputusan untuk jalan kaki dari Terminal Bas ke Jeti Mersing. Tak jauh mana, dalam 10 minit jalan kaki je. Atau kalau berlari lari lagi cepatlah sampai, 5 minit pun boleh. Kalau tak tahu jalan ke Jeti, tanyalah orang ikut arah mana. Tapi kau sampai siang, boleh je kau naik teksi.

Bila sampai di Jeti, ambil pulak tiket Ferry ke Pulau Tioman. Okey perkara yang penting akan terjadi di sini... ialah kau perlu pilih nak turun di Jeti Mana atau kampung mana dekat Pulau Tioman tu. Ini aku tampal gambar peta Pulau Tioman dekat bawah ni. 


Okey. Ada 13 spot warna merah yang bermakna kampung dekat dalam Peta tu, tapi Ferry takkan berhenti di setiap kampung tu. Hentian pertama ferry akan berhenti adalah di Genting, kemudian Paya, Kemudian Lalang, Kemudian Tekek dan Salang.

Kalau jenis yang nak rileks betul betul rileks dengan makna nak pantai yang tak ramai orang. Pilihlah Genting atau Paya, juga Panuba. Tapi ferry tak berhenti di Panuba. Jadi kau turun di Tekek dan ambil teksi laut ke Panuba. Kalau kau nak ada banyak kemudahan sikit seperti perlukan A.T.M dan ada supermarket pergilah ke Tekek tu. Tapi kalau kau nak ke pantai yang hapening sikit, dan menjadi tumpuan banyak orang serta aweks-aweks cun juga balak encem pergilah ke Salang. 

Baik, dalam perjalanan ni aku pilih Salang. Pertama sebab aku suka suasana di Salang. Orang dia peramah, ada banyak chalet-chalet dan pantainya Landai. Kelebihan di Salang ni ialah... air dia Paling Jernih di sini dan kita boleh snorkeling di tepi pantai je. Terumbu karang dan ikan-ikan dia dah cukup cantik di situ. Tak payah nak naik bot ke tempat lain.

Chalet-Chalet Di Salang, Pulau Tioman

1 . Ella Place
2 . Salang Indah Resort
3 . Salang Pusaka Resort
4 . Pak Long Chalet
5 . Nora Chalet
6 . Puteri Salang In

Rate kesemua chalet ni berada dalam lingkuang RM 40 hingga RM 300. Bergantung chalet mana yang kau pilih dan chalet macam mana yang kau pilih. Kalau budget besar kau boleh pilih Salang Indah Resort, dan kalau budget kecik kau ambik Nora Chalet. Tapi walaupun Nora Chalet ni dalam kategori murah, chalet dia tetap ok dan selesa.

Pakej-Pakej Di Pulau Tioman.

Sebahagian besar dari chalet-chalet ada menyediakan pakej untuk pengunjung mereka. Antaranya siap dengan pakej sarapan pagi, makan tengahari serta makan malam, juga BBQ untuk yang datang berkumpulan. Itu pakej makan, kalau nak. Kalau taknak takpe, sewa chalet je. Makan boleh lepak dekat mana-mana bar atau kedai makan yang berderat sepanjang pantai. Dan jangan risau, view memang terbaik menghadap laut. Ada open air atas pasir pantai, ada yang berbumbung atas simen. Kedai-kedai craf pun banyak jugak.

Itu untuk makan, untuk jalan-jalan pulak. Ada disediakan pakej Island Hopping, jalan-jalan pusing satu pulau naik bot dan berhenti di spot-spot yang best. Ada air terjun di Mukut, ada bagi ikan makan dalam laut di Marine Park dan ada snorkeling di beberapa tempat terpilih. Pakej pusing pulau tadi adalah RM100**,  dan pakej snorkeling tadi je pulak RM70**. Life jacket, makan tengahari dan mask disediakan. Mana yang kaki pancing, pun ada pakej jugak. Dan itu harganya dalam RM 100** hingga RM 1000**, bergantung pada berapa jam dan berapa hari.

Tapi kalau tak nak amik pakej tu, jangan risau. Di tepi pantai Salang tetap banyak orang snorkeling. Sebab bila lepas musim monsum habis, terumbu karang dekat tepi pantai dia memang cukup cantik. Memancing boleh di sekitar situ je. Nak berkayak, nak berenang apatah lagi. Cuma nak berjetski itu memang tak ada.  Segala banana bot, fyling fox terbang apa ke benda yang sangkut dengan bot tu, semua tak ada. Jadi pantai ni tak bising dengan segala benda bukan-bukan tu.

Apa yang membezakan Salang dengan pantai-pantai lain lagi ialah, malam dekat sini hapening. Di pesisir pantai ada banyak kedai-kedai makan dan bar yang menghadap laut. Syok bila lepak minum sambil layan reggae.

Ini air terjun di Kg Asah. Kalau amik pakej Round Pulau, memang akan singgah.

Ini yang di sebut-sebut Monkey Bay. Tak de orang dekat pantai ni. Boleh pergi nak taxi laut, atau jungle treking dari Pantai Salang.

Air laut yang jernih. Tapi tempat mandi dengan snokeling bukan dekat sini. Dekat hujung sana nun, bawah bukit.

Salah satu chalet yang paling cantik. Tapi sayang tak diluluskan untuk beroperasi. Tapi depan dia tu, boleh tengok terumbu karang cantik-cantik belaka.

Ini pun sama, view dari chalet yang Chalet yang sama, aku cuma nak tunjuk air dia yang jernih tu je.

Walaupun tempat ini aman, dan kira free zon. Tapi pondok polis tetap ada.

Pemandangan di salah satu chalet.


 Ini pun... pemandangan dari salah satu chalet.

Permulaan masuk nak ke Air Terjun Kg Asah.

Monday, 17 September 2012

Kalau Aku


Kalau aku, memang tak la aku nak guna. Tak rela aku dihina.

Saturday, 15 September 2012

DREDD - His Name Is The Law

DREDD ni aku cakap kau, ramai gila orang suka. Dia punya action, dia punya cerita. Semua orang cakap power, review semua bagus-bagus belaka. Tapi bila aku tengok. Aku rasa macam nak tido, nak tido, nak tido. Bosan. Maknanya aku memang tak suka cerita tu.

Dia ganas memang la ganas, kalau siat kulit tu, dia tak ada la lari-larikan kamera fokus dekat mana, tetibe ada bunyi orang menjerit je. Tapi dia memang tunjuk la siat tu kulit tersiat-siat. Tapi kita tau la, itu semua teknologi CGI.

Syot dia sebenarnya cantik-cantik la jugak. Masa humban orang dari atas bangunan tu nampak la dia punya smart. Kalau air jatuh tu nampak seketul-ketul. Cuma yang buat aku tak berkenan benor tu, bab cerita dia. Cerita dia bosan, tak ada apa benda. Tembak, tembak, tembak, tembak, lepas tu selamat. Habis la cerita. Tapi mana-mana yang kaki action memang gemor benor la.

Lagi bila aku check-check siapa yang suka dengan DREDD ni, depa-depa yang layan komik dia la. Dia orang kata sebijik macam komik. Macam tu lah. Memang ganas. Memang macam tu lah cerita.

Ooooo. Patutla.

Ntah sapa-sapa ntah jadi Hero. Kita panggil di Law.

Ni Mama. Dia jadi kepala geng jahat dalam ni. Ganas siot minah ni.

Tuesday, 11 September 2012

Aura Lelaki Berambut Panjang

Secara kita sedar atau tak, lelaki yang berambut panjang sebenarnya lebih mudah menarik perhatian seseorang berbanding lelaki berambut pendek. Ini boleh jadi sebab selekehnya dia, atau sebab bergayanya dengan rambut panjang, sampai nampak gorgeous. Dan semua itu kita sebut sebagai aura. Menarik kita pada dia.


Pendapat aku pulak sebenarnya mereka menjadi perhatian, atau kalau bukan perhatian pun. Boleh dan cukup kalau takat nak buat orang pandang sekejap, adalah sebab mereka agak berbeza dari lelaki lain. Kebanyakan lelaki memang berambut pendek, dan dalam 10 orang, ada seorang yang lain, mesti dia akan lebih menyerlah. Lain pulak halnya kalau semua berambut panjang, mesti yang rambut skema tu pulak akan jadi lain auranya. Jadi, aura juga bersangkut dengan keadaan sekeliling waktu tu.


Friday, 7 September 2012

Lelaki Hot Busuk

Kau pernah dengar, atau tengok? Perempuan cantik, tapi lelaki tak hensem. Dan mereka bergandingan, ye! Sebagai couple, kekasih mekasih, cinta mencintai. Orang kata dah takdir, dah jodoh dia, dah dia suka. Pun betul!  Tak salah. Tapi... pernah fikir tak? Kenapa? Dan mengapa?

Sebab lelaki tu gentle? Betul. Sebab dia gentle, berani dan kamikaze. Mereka mempunyai pemikiran 'nothing to lose.' Dapat tak dapat belakang kira, belakang cerita. Yang penting cuba. Dapat rezeki, tak dapat banyak lagi. Jenis macam ni memang senang, tak payah susah-susah nak fikir panjang. Boleh pergi kita 'on' tak boleh pergi aku 'chow'.

Itu satu, tapi satu hal lagi, mungkin kita, tapi kita tak perasan. 'Bad Boy'! Orang perempuan, samada setuju atau tak, tapi ramai yang suka pada bad boy. Boleh jadi bad boy ni mereka adalah 'mahal', atau boleh jadi mereka ni jenis tak kisah, jenis slumber atau juga boleh jadi jenis memang bad. Sambung dari isu bad tadi, membawak pula pada isu 'hot busuk'.

Yup! Perempuan suka pada lelaki hot busuk. Kau tahu apa itu hot busuk. Itu khusus untuk lelaki, iaitu mereka itu adalah hot, tapi dalam masa yang sama busuk. Maknanya walaupun bukan busuk secara harfiah, tapi penampilan. Kurang kemas, agak serabut sikit, sempoi dan yang apa apa saja sealiran dengannya. Contoh kau tengok Joe Wings, Slash Guns & Roses dan ramai lagi rock star yang pernah wujud. Mereka tak kemas mana pun. Tapi mereka ada ramai peminat perempuan. Semua itu sebab apa, sebab mereka nampak hot. Walaupun nampak busuk.


Aku andaikan orang membaca tulisan ni semua kategori bijak-bijak. Maka aku tak payah nak ekplen lebih-lebih, dan berhuhu huhu. Kalau kau tak faham, tak apa. Bukan salah kau, kau jadi bodoh. Itu semua salah persekitaran kau yang membentuk kau.


Thursday, 30 August 2012

Hari Ni Hari Merdeka

Hari ni hari merdeka. Dulu kecik-kecik masa aku dekat kampung, yang sebenarnya bukanlah kampung sangat pun. Tapi lebih pada bandar bandar kecik tapi takdelah kecik sangat. Cuma dah taraf Bandaran tu dah dapat la. Kalau bandaraya pulak, ntah nak kena tunggu berapa taun lagi. Bila malam 30hb tu, memang aku dengan kawan-kawan dah kelam kabut la.

Kelam kabut fikir mana nak curi bendera, masa tu aku pun baru dalam darjah 5 ke darjah 6 je. Port paling senang sekali nak curik bendera tak lain tak bukan dekat pagar sekolah la. Waktu dulu-dulu kalau masuk je bulan lapan sekolah memang dah semangat dah pakat gantung bendera dekat sepanjang pagar. Itu belum masuk kes mana mana sekolah yang sibuk nak buat bendera besar-besar tu. Panggil budak-budak petang petang turun padang sekolah warnakan bendera.

kau nampak tak berapa punya semangat waktu tu nak sambut merdeka. Pergi dekat bandar ataupun pekan, tojang basikal ramai-ramai. Duit bawak bukan banyak mana pun, dalam 5 ke 6 ringgit je, cukup la nak makan nasi ayam malam karang dengan minum air sirap. Kalau yang jenis tak berduit tu, bawak singgit pun jadi, orang makan dia takdela makan, minum air je dah la. Mana yang nasib lagi parah, tak bawak duit pun ada. Member makan ke, minum je, tengok-tengokkan aje la. Agak-agak terkulat-kulat sangat paw la sikit air member. Boleh share-share. Apa ada hal.

Lepas makan pergi dekat tempat orang sambut merdeka, punya ramai jangan cakap la. Penuh. Ada la tengok orang-orang nyanyi dekat stage, masa tu artis yang top adalah artis yang lahir dekat daerah tu sendiri., lepas tu ada satu dua album dah senyap. Bila tiba time macam tu, depa memang pakat meriah la. Lepas tu, nak up sikit, amik la sorang artis yang sedang sedang-sedang popularnya dekat tv atau urtv masa tu. Kalau Nurul, Nurul... ala Nurul Abdul Wahab yang kawin dengan Ajai tu, tak pun Rozita Izyln. Memang budak-budak motor pakat tersuit-suit la.

Bila tengok budak-budak motor dah suit-suit macam tu, aku yang budak-budak ni pun tak sabor nak jadi besor rasanya. Nanti bolah buat macam tu, lepas tu kawan-kawan gelak, kira kelakar habis la masa tu. Padahal artis dekat depan buat tak tau je pun. Balik rumah, baring atas tilam, mesti ada rasa, hish kalaulah dapat kawin dengan artis tu. Sumpah tak cari lain, tak sabor benor nak besor rasanya.

Konsert tu, nak jimat bajet lagi, mesti ada team nasyid-nasyid sekolah dekat daerah tu yang akan buat persembahan sekali punya. Ramai-ramai pakai baju melayu, penyanyi utama dekat depan... lain-lain penyanyi latar berdiri sebaris dekat belakang. Ada part-part macam korus ke tangan akan naik gerak-gerak sikit, tunjuk dada ke, tunjuk langit ke. Ikut la mana yang sesuai.

Tepat jam 12.00 tengah malam. Itulah masanya, pekik. MERDEKA 3 kali. Cuma yang tak best, dah pekik 3 kali, maknanya dah boleh balik jugak la.

Wednesday, 29 August 2012

Dockers Kain Sedap

Dockers ni dia punya shirt boleh tahan jugak, aku suka kalau jenis yang macam ni. Simple, rileks tak serabut.  Orang kata boleh dibawak ke tengah la, atau bawak jumpa mak mertua ke. Eh! Kesitu pulak perginya. Dulu aku dah sambar selai, warna putih. 


Dia okey pada aku, sebab fit bila sarung badan. Aku tak berapa suka sangat yang mengelebeh-ngelebeh ni, nampak tak kemas. Bila dah fit dekat badan tu, lagi yang membuatkan benda ni okey sebab kain dia bukan jenis nipis. Maksud aku bukan nipis sangat, agak tebal dan lembut pada kulit. Kalau tak caya kain dia okey, kau tengok gambar dekat ni ha.



Lagi satu, aku kalau pilih dezain aku akan tengok jalur-jalurnya sekali. Jalur dia macam mana? Aku jarang nak ambil yang jalurnya tegak ke bawah. Sebab badan aku bukan jenis yang berisi, jadi dengan bantuan jalur-jalur melintang macam shirt ni, akan bantu buat aku nampak segak dan tegap, sekurangnya sikit la. Mungkin ada yang akan tertipu dan sudi nak tukar nombor telefon, mana tau. Kan? Sekurangnya mencuba kabor orang tu.


Tapi dezain dekat bawah ni, aku tak berap nak berkenan sangat. Simple memang simple, tapi simple dia bukan jenis yang aku suka. Pertama mungkin sebab aku ada masalah dengan mana-mana t-shirt yang ada terpampang besar-besar logo jenama kot. Tapi apa yang pasti, kalau logo jelas-jelas macam tu, memang aku takkan angkat punya.

Kedua, mungkin sebab aku tak berapa gemor dengan baju yang macam siap. Cuba tengok design dia. Memang la benda ni siap sebenarnya, tapi aku tak boleh. Tak boleh. Aku dah cuba, tak masuk dengan aku. Cuma kain dia okey la, kalau pakai tu sedap. Jadi aku kalau nak angkat, tengok kain sedap, design pun sedap, baru sedap pakai.


Tuesday, 28 August 2012

Sifat Lelaki Cancer

Secara dalam bukunya lelaki cancer ni sensetif sangat dan cepat terusik. Jadi jangan peliknya kalau dia orang ni mudah menangis. Dan di sebalik semua sifat tu, mereka mudah menarik perhatian perempuan untuk tertarik dengan dia, sebabnya lelaki yang macam mudah membuatkan orang bersimpati dengan mereka, dan memerlukan wanita yang lebih bersifat keibuan. Mereka mementingkan kebahagian rumah tangga dan berusaha ke arah itu. Jika rumah tangga dalam masalah, memang tak senang duduknya jawabnya dia orang ni. Target utama lelaki ini tak lain tak bukan mencari pasangan hidup, tak kisah la makwe ke, nak buat bini ke, sebab mereka ni jenis susah nak cari pasangan, so kena la berusaha lebih sikit dari orang lain.

Satu hal yang kamu perlu tahu, mereka ini suka mengkritik dan mengadu. Jarang nak puas hatinya, semua benda harus sempurna dan diteliti adakah bagus atau tidak. Tapi yang bagus, cancer lelaki yang setia, suami yang bagus dan benci pada perpisahan, lebih-lebih lagi kalau dah kawin.

Monday, 20 August 2012

The Bourne Legacy Yang Main Satu Permainan Dengan Abang Ipar


Beberapa hari sudah aku nengok wayang. Tajuk cerita The Bourne Legacy, itupun lepas aku nengok senarai filem melayu yang ada now showing tu sumpah tak best. Bukan tak gemor tak nengok cerita orang melayu, cerita yang mencermin budaya yang bangsa kita, cerita kita. Cuma aku tak berapa gemor nak nengok pelakon terlompat-lompat macam beruk ni, terjerit sana terjerit sini. Biasa la, komedi kan. Komedi memang kena ada macam monyet sikit-sikit. Baru la kelakar, kalau tak monyet tak kelakar la.


The Bourne Legacy, heronya Jeremy Renner, heroin Rachel Weisz. Pengarahnya brader Tony Gilroy, dia jugak yang tulis skrip. Jadi ini memang cerita dia la. Tapi apa yang aku nak cakap, sumpah cerita ni tak best. Cuma tahap dia punya tak best tu, tak ada la sama macam cerita melayu yang terjerit-jerit tadi tu. Kalau nak banding dengan yang itu, The Bourne Legacy ni memang filem terbaik la. Cuma kalau nak banding dengan filem Holywood yang lain, memang tahap bosan.


Motif cerita ni, hero dia nak dibunuh. Kenapa nak dibunuh? Sebab program yang melibatkan hero tu dah ditamatkan. Jadi hero kena dibunuh. Sebab kalau tak dibunuh dia orang jadi mutan kot. Ntah, aku pun tak tahu kenapa nak dibunuh sangat, yang penting dan perlu ditahu ialah, mesti kena bunuh. Nak tak nak terpaksa.

Mula-mula cerita heronya sedang dalam satu misi, misi apa kebenda ntah. Sampai sudah aku tak tau, cuma bila sampai di satu check point, misi macam dah tamat. Jadi macam aku cakap tadi, bunuh!

Jadi kisah ini ialah kisah hero yang lari, kalau hero lari dah tentu-tentu bawak heroin. Takkan dia bawak abang ipar pulak, padahal boleh je buat kalau hero lari dengan abang ipar, lepas tu dalam perjalanan dia kena main permainan dengan abang ipar. Itu kalau aku buat cerita la. Sebab dia kena bawak lari heroin tu ialah sebab heroin perlu diselamatkan.


Ini benda biasa la, benda yang normal akan berlaku dalam filem hollywood, lari dengan heroin sebab heroin ada menyimpan satu rahsia dan rahsia tu takkan disimpan oleh seorang lelaki tua gendut yang berjanggut. Sebab kalau dah macam tu punya boyot dan gemuk, siapa yang nak tengok lama-lama. Kan? Silap-silap tak payah tunggu orang jahat datang, hero sendiri yang bosan-bosan akan bunuh orang dia nak selamatkan tu balik.

Bila dah lari punya lari, akhir sekali mestila ada scene orang jahat bertembung dengan hero. Maka akan jadilah scene kejar mengejar. Ye! Memang ada! Cuma kalau ada pertandingan bertanding scene kejar mengejar terbaik dalam festival filem antarabangsa, dah tentu-tentu punya scene kejar mengejar dalam The Bourne Legacy tak masuk bayang nak disebut calon-calon nya pun takda. Takda! Takda! Tau?


Wednesday, 15 August 2012

Sifat Lelaki Pisces


Lelaki bintang pisces sebenarnya agak kurang menarik, maaf cakaplah. Jangan marah. Tapi kalau mereka ini kelihatan menarik pulak, dan pandai bergaya, itu bermakna persekitaran mereka telah merubah mereka. Oleh sebab mereka ni secara fizikal dan zahir tak berapa menarik, jadi mereka dicipta untuk jadi menarik dari segi perwatakan. Kalau mahukan lelaki yang lucu, pandai buat lawak dan berjenaka, inilah dia orangnya yang layak. Serius, mereka kelakar. Cuma tak tahu la kelakar yang macam mana, kalau mereka terbiasa dengan corak hidup lawak slaptik, jadilah mereka ini badut ataupun monyet. Tapi walau macam manapun, kelakar memang kelakar. 

Dalam soal lain pula, lelaki pisces ni jenis yang mudah bersimpati. Kalau ada pak cik tak berapa nak nampak tu datang jual tisu meja ke meja, memang dia orang cepat kesian punya la. Ini pulak tengok cerita anak durhaka macam KL Gangster tu, yang biarkan mak dia jual kerepek sampai sakit-sakit kaki. Oleh dah kerana dia ni jenis cepat bersimpati, maka mereka juga selalu mementingkan perasaan orang lain. Dan kalau bercinta, memang jenis romantik, pandai jaga hati pasangan.

Dan sebab dia ni dah jenis kelakar, diberikan pula satu lagi kekurangan lain untuk mengimbanginya, iaitu agak pemalu. Sebab itu orang yang kelakar ni, dia hanya kelakar pada orang tertentu dan member-member rapat je. Bila ada orang lain yang tak kenal lepak sekali, dia kena ambik masa untuk sesuaikan diri. Sifat pemalu adalah kerana mereka juga dalam kategori kurang berkeyakinan. 

Sebab dah kurang berkeyakinan, maka mereka sukar untuk membuat keputusan dan lambat menambat hati wanita. Sungguhpun mereka ini kekasih yang baik dan hangat, tetapi kerana beberapa hal itu tadi, mereka sering ditinggalkan. Sekian, terima kasih.

Tuesday, 14 August 2012

Sifat Lelaki Leo


Gerakan mereka cepat dan tangkas, tetapi lembut. Memiliki sepasang mata yang menarik, cuba perhatikan kawan-kawan kau orang yang berbintang Leo ni, cantik tak mata dia. Suka menolong dan bantu orang ramai. Jadi tak hairanlah sebab sikap dia yang semula jadi macam tu, dia senang nak kena tipu dan diperdayakan. Baik sangat. Kot la.

Dalam sisi lain sangat berkeyakinan dan berpersonaliti kuat. Jika dibentuk dalam persekitaran yang betul, mereka boleh jadi pemimpin yang bagus. Dan bili sifatnya boleh jadi pemimpin, dan tentu-tentu juga dia suka untuk popular dan mengarahkan orang. Pemimpin mana yang tak suka popular, dan pemimpin mana yang tak mengarah orang.

Dia sangat mementingkan cinta dalam kehidupan. Jika tidak disayangi dan tidak sesiapa di sini, dia akan rasa dirinya tak dihargai. Sangat mudah bernafsu, namun nafsu itu sangat mudah reda. Rupa paras mereka boleh tahan tampannya. Jadi orang-orang Leo sila rasa bertuah, cuma kalau malas nak kemaskan diri, memang tak nampak la tampannya tu. Tapi jaga-jaga, lelaki Leo ni mudah cembura, jadi jangan berani-berani nak jeling awek dia, karang awek dia yang kena marah balik, dan tak pasal-pasal dia orang bergaduh pasal tu.

Mereka bersemangat pada perkahwinan dan gemar berehat di rumah saja.

Monday, 13 August 2012

Sifat Lelaki Gemini


Lelaki yang beradab dan pandai bersopan santun. Pilihan mak mertua kata orang tu. Pandai menguruskan diri dan masa, jadi dalam perhubungan mereka bijak melakukan sesuatu untuk pasangannya supaya hubungan berkekalan dan bahagia sentiasa. Mempunyai kebolehan dalam hal pujuk memujuk dan menyakinkan orang. Jadi bersesuaian bekerja sebagai pegawai perhubungan awam, ataupun jurujual untuk melariskan sesuatu produk.

Dalam hal memilih pasangan, wanita yang cantik bukanlah menjadi keutamaan mereka sangat, tetapi yang penting adalah wanita yang bijak dan tahu menguruskan diri. Sama seperti diri mereka juga. Dan bila sudah masuk ke dalam alam percintaan, sungguhpun pandai memujuk dan merancang perjalan untuk sesuatu hubungan, tetapi mereka bukanlah pendengar yang setia. Apalagi untuk mendengar hal-hal yang diangap remah dan kebudak-budakan oleh orang lelaki. Mereka sukar untuk melibatkan sepenuh emosi dalam bercinta.

Sunday, 12 August 2012

Sifat Lelaki Aries


Mereka ini suka bergaul dan bersosial, seorang yang bersemangat dan bercita-cita. Sangat sesuai untuk memimpin. Kerana itu mereka ini lebih suka mengarah. Apa yang paling jelas sekali di antara kesemua sifat-sifatnya, lelaki aries adakah seorang yang berani. Hobi suka gemar mengembara atau menjelajah. Sikap buruk ialah tidak tekun dalam sesuatu pekerjaan, jadi tidak hairanlah kalau mereka tidak mengakhiri apa yang telah dimulakan, tetapi menyuruh orang lain untuk menyudahkannya.

Harus berhati-hati dengan aries adalah kerana mereka tergolong dalam orang yang panas baran, dan kerana sifat tidak sabar mereka juga maka timbulnya sifat cemburu dalam masa yang sama. Jadi kepada kekasih si Aries, anda perlu berjaga-jaga dalam hal ini. Aries ini juga adalah panas, mereka yang mempunyai kekasih adalah sangat berghairah dan bernafsu. Mereka ini tidak suka bersendirian, kalau itu berlaku adalah kerana terpaksa dan kerana mereka dia memang jenis forever alone, sedangkan mereka sebenarnya benci berseorangan.

Ketika mula bercinta, mereka sangat baik hati, dan suka berjenaka. Tetapi apabila sudah lama baru terserlah sifat mereka yang akan marah-marah dan akan menyakitkan hati.